Persahabatan Yg Ikhlas Pasti Akan Berkekalan

Persahabatan Yg Ikhlas Pasti Akan Berkekalan

Assalamualaikum.

Salam buat keluarga tercinta dan kawan-kawan.
Terima kasih kerana mengunjungi blog ini. Blog ini saya dedikasikan khas buat 4 orang puteri saya...Seri Diyana, Seri Nadia, Seri Irdina dan Seri Amani. Walaupun badai dan taufan melanda ... hidup ini akan saya perjuangkan demi kejayaan 4 orang puteri saya. Kekuatan saya.....merupakan kekuatan anak-anak. Hidup harus diteruskan...apa yang berlaku, biarlah ianya berlalu. Suatu hari nanti, sinar bahagia pasti akan menjelma. Jika tidak di dunia, insyaAllah di akhirat kelak......

"Sesungguhnya doa orang yang teraniaya adalah doa yang makbul"

Saya juga nak berkongsi pengalaman dengan kawan-kawan semoga merapatkan lagi sillaturahim sesama kita.

Wassalam.

Wednesday, April 28, 2010

PAHALA BAGI ORANG YANG BERSIFAT SABAR



"Apabila telah Aku berikan musibah kepada salah seorang hamba-Ku pada badannya,hartanya, atau anaknya, kemudian dia menerimanya dengan sabar yang sempurna, Aku merasa malu untuk menegakkan timbangan baginya pada hari kiamat atau membukakan buku catatan amal ibadahnya.”
(HR. Dailami, Al Hakim dan Tarmizi)

Sabar adalah menahan diri dan membawanya kepada yang dituntut oleh syara’ serta menghindarnya dari yang dilarangnya. Jadi sabar ialah suatu kekuatan daya yang mendorong jiwa untuk menunaikan kewajipan. Disam­ping itu sabar adalah suatu kekuatan atau daya yang menghalangi seseorang untuk melakukan kejahatan.

Imam Ghazali didalam perkara ini menjelaskan:
“Sabar ialah tetap tegaknya dorongan agama ketika berhadapan dengan dorongan hawa nafsu. Dorogan agama ialah hidayah ALlah kepada manusia untuk mengenal-Nya, Rasul-Nya serta untuk mengetahui dan mengamalkan ajaran-Nya serta perkara-perkara yang berkenaan dengan akibatnya. Sabar iaitu sifat yang membedakan manusia dengan binatang dalam hal menundukkan hawa nafsu. Sedangkan dorongan hawa nafsu ialah tuntutan syahwat dan keinginan yang meminta dilaksanakan.”

Jamaluddin al-Qasimi pula mengatakan, bahawa barangsiapa yang tetap tegak bertahan sehingga dapat menundukkan dorongan hawa nafsu secara terus menerus, orang tersebut termasuk golongan orang-orang yang sabar.

Allah SWT kadangkala melaksanakan hukuman di dunia ini dengan memberikan ujian dan cubaan dalam bermacam bentuk, seperti:

1. Cubaan badaniah dan rohaniah yang berupa penyakit, luka, cacat pandangan salah satu anggota tubuh, rasa susah, gelisah, resah, duka cita, rasa tidak aman dan lain-lain.

2. Cubaan melalui kekayaan, seperti kehilangan, kebakaran, kekurangan, rosak dan sebagainya.

3. Cubaan melalui anak dan keluarga, seperti sakit, gila, lumpuh dan lain-lain.

Semua ujian dan cubaan tersebut mungkin terjadi kerana:

a. Hasil undangan dan kedurhakaan manusia sendiri, hasil usaha perbuatan dan kelakuannya sendiri yang dihukum di dunia ini oleh Allah sebagai pembalasan langsung dan dosa-dosanya itu. Kemungkinan ini dapat terjadi sebagai tanda kasih sayang-Nya untuk menghapus dosa kedurhakaannya di dunia ini dan ia akan keluar dan dunia ini dalam keadaan suci bersih. Kemungkinan lainnya ialah untuk meninggikan martabatnya, baik di dunia mahupun akhirat, iaitu apabila ia tidak mempunyai dosa yang harus mendapatkan hukuman.

b. Takdir Allah sendiri untuk menguji hamba-hambanya secara terus-menerus dirundung malang , dan nanti akan diganti di akhirat dengan rahmat dan keredhaan-Nya.

Apabila seseorang itu menghadapi cubaan dan penderitaan itu dengan redha, ikhlas dan mencari jalan keluar dengan cara yang sebaik-baiknya, tidak mengeluh, tidak gelisah dan sebagainya, maka Allah SWT pasti akan memudahkan baginya urusan hisabnya di hari akhirat. Allah akan segera membalas segala pahalanya, memberkati kehidupannya sehingga timbangan­nya tidak berat kepada kejahatan, tetapi akan berat kepada ketaatan dan pahala, yang kesudahannya akan masuk syurga. Begitu juga Allah SWT tidak akan memberikan buku catatan amalnya serta membukakan rahsianya dihadapan orang ramai.

Semuanya ini sebagai lukisan bahawa secara kiasan Allah SWT menerima apa yang dilakukan oleh hamba yang sabar dan beramal shaleh dengan sambutan yang baik dan memberikan kurnia keredhaan kepadanya.

Hadis diatas juga mengandung makna bahawa:

a. Allah SWT ingin menunjukkan kekuasaan mutlak­nya terhadap manusia, baik ilmu ataupun hikmah rahsia-Nya.

b. Untuk menunjukkan bahawa manusia itu harus tunduk dan wajib merendahkan din terhadap Khaliknya dengan penuh kehambaan. Sebab menghambakan diri kepada Allah pada hakikatnya manusia akan memperoleh kemuliaan dan ketinggian.

Berkenaan dengan sifat sabar, Allah telah menyebutkan di dalam Al Qur’an tidak kurang dari lapan puluh kali, dalam bermacam bentuk, untuk menunjukkan betapa tinggi nilai dan keutamaanya.

Banyak orang yang menyangka, bahawa sabar bererti merendahkan diri dan penyerahan kepada keadaan, membiarkan diri hanyut dalam keadaan itu, atau menghentikan usaha tanpa ikhtiar mencari jalan keluar yang baik tanpa memperbaiki dan menguatkan amal perbuatan dan berlaku redha terhadap apa yang terjadi biar bagaimanapun bentuk dan macamnya.

Pengertian sabar seperti ini tidaklah tepat, sebab yang dinamakan sabar ialah menghadapi musibah (cubaan atau ujian) dengan cara yang baik, berikhtiar mencari jalan keluar dengan cara yang baik pula dan membiasakan diri melakukan amal perbuatan yang shaleh dan usaha yang terpuji, sambil menjadikan pengalaman itu suatu dorongan untuk mempunyai kemahuan yang kuat, keimanan dan keyakinan yang penuhi istiqamah.

Dalam keterangan yang lain pula di jelaskan bahawa sabar itu ada lima macam, iaitu:

1. Sabar dalam beribadah, ialah tekun mengendalikan din melaksanakan syarat-syarat dan rukunnya.

2. Sabar ketika di timpa malapetaka atau musibah, ialah teguh hati ketika ditimpa musibah (cubaan atau ujian) baik yang berbentuk kemiskinan, kematian, diserang penyakit dan sebagainya.

3. Sabar terhadap kehidupan dunia, ialah sabar terhadap tipu daya dunia, tidak terlalu terpaut terhadap kenikmatan hidup di dunia ini dan tidak menjadikan kehidupan dunia sebagai tujuan, tetapi hanya sebagai alat untuk mempersiapkan diri menghadapi kehidupan yang kekal.

4. Sabar terhadap maksiat, ialah mengendalikan diri supaya tidak berbuat maksiat. Sabar terhadap maksiat ini bukan sahaja berkenaan dengan diri sendiri, tetapi juga berkenaan dengan diri orang lain. Iaitu berusaha supaya orang lain juga jangan sampai terjatuh ke jurang kemaksiatan, dengan melakukan amal ma’ruf nahi mungkar (mengajak manusia melakukan kebaikan dan mencegahnya dan perbuatan yang salah serta buruk).

5. Sabar dalam perjuangan, ialah menyedari sepenuhnya bahawa setiap perjuangan mengalami masa pasang surut, masa menang dan masa kalah.Sedangkan sabar dalam bentuk rohaniah itu terbagi pula kepada beberapa macam:

a. Iffah, iaitu sabar menahan nafsu dan seks.

b. Tasamuh, iaitu menahan diri dan lapang dada dalam menghadapi lawan.

c. Kitman, iaitu menahan diri dan memelihara rahsia, baik rahsia sendiri mahupun rahsia orang lain apa lagi rahsia suami sendiri.

d. Zuhud, iaitu menahan diri dan godaan keduniaan dalam usaha memperoleh kebahagiaan di akhirat.

e. Qana’ah, iaitu menahan diri dan hidup berlebih-lebihan dan merasa puas dengan kehidupan yang sesuai dengan hasil usaha.

Oleh kerana itu wahai muslimin dan muslimat yang dirahmati ALlah, jadikanlah sifat sabar ini sebagai pakaianmu sehari-hari, nescaya hidupmu akan selamat di dunia dan di akhirat nanti.

SABAR.....DALAM MENGHADAPI MUSIBAH



Wahai kaum Muslimin/Muslimah yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.
Manusia yang hidup di dunia ini tidak akan terlepas dari menerima ujian dan dugaan dari Allah Subhanahu Wata'ala, perbezaannya hanyalah terletak pada besar atau kecilnya, berat atau ringannya dugaan yang menimpa itu. Tetapi ujian Allah Subhanahu Wata'ala tetap berlaku. 

Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Baqarah ayat 155 tafsirnya :
"Dan demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut kepada musuh dan dengan merasai kelaparan dan dengan berlakunya kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar".

Sebagai umat Islam kita hendaklah mempunyai kekuatan iman dalam menghadapi apa pun jua situasi yang dihadapi, baik berupa ujian untuk umum seperti kemarau panjang, kebakaran, hujan yang turun tidak hentinya sehingga menyebabkan berlakunya banjir, tanah runtuh dan sebagainya atau ujian untuk diri atau peribadi seperti penyakit, kemiskinan, kematian orang yang disayangi, dijatuhi hukuman dan sebagainya yang menimpa. Semua ujian ini, haruslah dihadapi dengan ketabahan, ketenangan dan yang paling utama ialah menghadapinya dengan penuh kesabaran.

Sifat sabar dan tabah dalam menghadapi musibah amat perlu kerana dengan sifat tersebut menjadikan kita redha terhadap qada dan qadar Allah Subhanahu Wata'ala, sekali gus mengelakkan diri kita dari bersikap marah, merasa kecewa, berputus asa dan resah-gelisah dalam menghadapi ujian. Ketahuilah sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala mencintai orang-orang yang sabar, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ali 'Imran ayat 146 tafsirnya :
"Dan ingatlah Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar".

Di sini kita bawakan dua kisah kesabaran yang perlu kita contohi.

Pertama : Kesabaran Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Kejayaan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam perjuangan untuk menegakkan Islam adalah hasil dari kesabaran Baginda. Baginda sabar menghadapi rintangan walaupun orang kafir melemparkan najis unta kepada Baginda sewaktu Baginda melaksanakan solat. Baginda bersabar dalam kemiskinan walaupun tidak ada makanan untuk dimasak oleh isteri Baginda, namun ibadahnya tidak pernah kurang bahkan ketika Baginda selesai menunaikan solat Subuh di masjid dan pulang ke rumahnya, Baginda bertanya kepada isterinya, apakah ada sarapan pagi atau tidak? Lalu isterinya menjawab : Tidak ada. Baginda bersabda, baiklah aku berpuasa pada hari ini, Baginda berpuasa sunat kerana tidak ada hendak dimakan.

Kedua : Kesabaran Abdullah Ibni Abbas Radiallahuanhuma.
Ketika Abdullah Ibni Abbas Radiallahuanhuma sedang menunggang kenderaannya, beliau telah didatangi oleh seseorang sambil berkata : Semoga Allah mengurniakanmu ganjaran yang berlipat ganda wahai Ibni Abbas, anakmu telah meninggal dunia.
Apakah yang dilakukan Ibni Abbas sebaik-baik sahaja mendengar berita tersebut? Ibni Abbas tidak melakukan sesuatu yang tidak patut dilakukan seperti kecewa atau berputus asa akan tetapi Ibni Abbas turun dari kenderaannya dan melakukan sembahyang dua rakaat. Selesai beliau sembahyang, orang yang membawa berita itu berkata : Saya sungguh mengkagumi tuan, wahai Ibni Abbas! Saya mengkhabarkan kepada tuan tentang kematian anak tuan lalu tuan menerimanya dengan sembahyang. Ibni Abbas menjelaskan : Tidakkah engkau membaca firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Baqarah ayat 153 tafsirnya :
"Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolong sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar".

Ketahuilah bahawa sabar itu amat besar pahalanya di sisi Allah Subhanahu Wata'ala dan menjadi ukuran kepada kekuatan iman seseorang. Sabar itu terbahagi kepada tiga :

Pertama : Sabar yang membawa kepada sampai 300 darjat iaitu sabar mentaati Allah Subhanahu Wata'ala, sabar kerana mendirikan sembahyang, sabar kerana mengucapkan perkataan-perkataan yang baik-baik dan sabar kerana menghubungkan silaturrahim.

Kedua : Sabar yang membawa kepada 600 darjat iaitu sabar kerana menahan diri daripada melakukan perkara-perkara maksiat seperti zina, judi, ruswah, minum minuman yang memabukkan dan lain-lain lagi.

Ketiga : Sabar yang membawa kepada sampai 900 darjat iaitu sabar yang berlaku pada ketika mula-mula ditimpa ujian atau bencana, baik bencana itu menimpa dirinya atau hartanya atau anaknya.

Sebagai hamba Allah yang beriman, kita hendaklah bersabar dan tabah menghadapi segala ujian yang menimpa ke atas kita kerana semua itu adalah qada dan qadar Allah Subhanahu Wata'ala dan sebagai peringatan kepada hamba-hamba-Nya supaya tidak terus lalai dan leka dalam kesenangan dan kemewahan hidup di dunia.

Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala akan sentiasa bersama kita sebagaimana yang dijanjikan di dalam Al-Quran untuk sentiasa bersama-sama orang-orang yang sabar dan sentiasa melimpahkan rahmat dan hidayah serta memberikan perlindungan kepada kita. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Baqarah ayat 177 tafsirnya :
"Dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan Fi Sabilillah. Orang-orang yang demikian sifatnya, mereka itulah orang-orang yang benar beriman dan mengerjakan kebajikan dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa".